Friday, March 22, 2013

Patut beli 4

Tuesday, March 19, 2013

INFO : Terapi berkuda kanak-kanak istimewa


KANAK-KANAK istimewa ini semakin cekap mengimbangkan badan melalui terapi berkuda yang dijalani.


KETIKA kali pertama Ah Chee, 12, (bukan nama sebenar) dibawa ke Taman Ekuine Taiping, Perak, dia menghantuk-hantukkan kepalanya di salah satu tiang yang terdapat di situ.
Perlakuan sebegitu bukanlah sesuatu yang pelik bagi kanak-kanak yang menghidapi penyakit autisme kronik.
Sememangnya kuda yang comel tidak mampu menarik perhatiannya sebagaimana pada kanak-kanak normal yang pastinya begitu girang bertemu haiwan yang lasak namun jinak itu.
Keadaan Ah Chee yang cacat sejak lahir menyebabkan tumbesaran fizikal dan otaknya tidak seperti kanak-kanak seusianya.
Ah Chee di bawa ke situ oleh ibunya selepas melihat satu kain rentang di pusat berkuda itu yang tercatat 'Terapi Berkuda untuk OKU (Orang Kurang Upaya)'.
Dia juga pernah membaca tentang satu artikel tentang keberkesanan terapi kuda untuk memulih dan membangkitkan keyakinan diri pada kanak-kanak seperti anaknya.
Itu antara cerita yang dikongsi oleh pengurus Taman Ekuine Taiping, Dinah Redmond.
"Projek perintis kami ini sebenarnya bermula dengan dua kanak-kanak, Ah Chee yang menghidap autisme kronik dan Burn, 15, (bukan nama sebenar) yang bermasalah dalam pelajaran kerana penyakit lembam.
"Mereka berdua adalah antara contoh kes yang agak kronik selepas sekolah pendidikan khas tidak mampu melaksanakan program pemulihan kepada mereka.
"Akhirnya ibu bapa mereka mengambil inisiatif menghantar ke Sekolah Semangat Maju, sebuah sekolah tajaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seterusnya dirujuk untuk menjadi pelatih pertama program terapi kuda ini.
"Alhamdulillah, selepas menjalani 12 sesi terapi, banyak perubahan yang dilihat daripada kedua-dua kanak-kanak itu.
"Daripada bersifat pasif tidak mahu bergaul hingga mereka boleh memberi arahan kepada kuda masing-masing. Malah mereka mampu menyeimbangkan badan dan mula fokus. Ibu bapa masing-masing terharu dengan perkembangan positif anak mereka," jelas Dinah.
Menurut beliau, terdapat lebih lima buah sekolah pendidikan khas di bawah tajaan kerajaan dan satu di bawah naungan NGO di daerah Larut Matang, Selama, Perak, yang menyertai program tersebut,
Kebanyakan pelajar istimewa itu menjalani terapi berkuda untuk OKU di Taman Ekuin Taiping.
Dinah berkata, apa yang disediakan pihaknya ialah salah satu bentuk terapi yang melibatkan penggunaan kuda dalam rawatan pemulihan. Ia dilaksanakan oleh petugas yang terlatih dari segi pengurusan dan latihan berkuda.
"Terapi berkuda membantu meningkatkan keyakinan diri, meningkatkan keseimbangan badan, membantu kanak-kanak untuk lebih fokus, mengurangkan kekejangan otot dan sebagainya.
"Antara penyakit yang sesuai menggunakan rawatan terapi berkuda ini adalah seperti strok, serebral palsy, sindrom Down, ADHD, masalah pembelajaran, lembam dan sebagainya," jelasnya.
Menurut Dinah, Taman Ekuin Taiping mula beroperasi pada 13 Februari 2010 dengan tiga pekerja dan dua pengurus.
Pekerja itu yang digelar groomer adalah terlatih serta bertanggung jawab memastikan kuda sihat dan bersedia untuk melatih pelajar.
"Di sini kami mempunyai tujuh ekor kuda biasa dan seekor kuda padi. Kesemuanya bekas kuda lumba.
"Pada masa sama kami memberi peluang kehidupan kepada kuda ini kerana selalunya bekas kuda lumba akan ditembak setelah berhenti berlumba.
Jadi pusat ekuin seperti ini bagai memberi peluang kedua kepada kuda-kuda ini," katanya.
Begitupun katanya, terapi berkuda adalah untuk semua, bukan hanya terhad kepada orang atau kanak kanak OKU sahaja.
"Kanak-kanak yang menghadapi autisme amat kurang daya koordinasi, kekuatan otot yang menyebabkan mereka jalan agak perlahan dan sering terkulai.
"Menunggang kuda membangkitkan kekuatan otot apabila kanak-kanak itu perlu menyeimbangkan tubuh mereka di atas kuda.
"Kelajuan kuda yang berubah juga memberi kesan kepada tubuh kanak-kanak sekali gus membuatkan perkembangan motor mereka bertambah baik," jelas Dinah.
Tambahnya, terapi berkuda juga meningkatkan daya kepekaan kanak-kanak terbabit.
Tidak kira sama ada kanak-kanak tersebut mengalami autisme kronik atau kanak-kanak normal, kemahiran sensori vestibular akan meningkat ketika mereka menunggang kuda berjalan atau berlari-lari anak.
Organ vestibular atau juga dikenali sebagai imbangan, terletak di telinga dalam dan ia akan dirangsang menerusi pertukaran pergerakan, kelajuan dan penurunan cerun.
Pergerakan kuda ketika berlari juga akan sekali gus memberi stimulasi kepada otot kanak-kanak dan sendi mereka untuk jadi lebih kuat.
Manakala sentuhan bulu kuda pula memberi rangsangan kepada kulit kanak-kanak terbabit.
Malah bunyi dan bau kuda juga adalah satu rangsangan positif menyebabkan kanak-kanak begitu bermotivasi untuk meneruskan latihan terapi.
"Terapi berkuda ini juga meningkatkan kemahiran bercakap dan kognitif lebih-lebiah lagi pada kanak-kanak autisme bermasalah dalam pertuturan dan memahami arahan.
"Menunggang kuda memberi peluang mereka memberi arahan kepada kuda. Sebagai contoh apabila pengajar memberi arahan satu, dua dan tiga, mereka akan spontan berkata 'go'. Banyak lagi arahan mudah yang bakal mereka pelajari dalam 12 sesi terapi ini," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm#ixzz2NzQsfJ1N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger