Sunday, May 22, 2011

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN KROH



SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN KROH




Tahun 1925
Sekolah Kebangsaan Kroh ini telah diasaskan pada tahun 1925 dengan nama Sekolah Melayu Kroh. Apabila system Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan, nama sekolah ini bertukar kepada Sekolah Umum Kroh dan seterusnya bertukar kepada Sekolah Kebangsaan Keruh hinggalah ke hari ini. Bangunan asalnya JKR Nombor 77, terletak di Jalan Tasek telah dibina oleh Jabatan Pelajaran Perak dan mula dibuka pada 3 Januari 1925. Bilangan murid yang mula belajar di sekolah ini adalah seramai 17 orang dan Guru Besar pertama ialah Encik Hamzah Bin Silah. Pembukaan sekolah ini adalah bagi menggantikan sekolah lama yang terletak di Jalan Simpang Pulai Kuak Luar, yang telah dipindahkan ke Kampung Kuak Luar. Sekolah di Jalan Simpang Pulai Kuak Luar itu adalah satu-satunya sekolah asal di daerah kecil Keruh pada waktu itu. Sekolah ini terletak di rumah dua tingkat kepunyaan Pak Lembut, di bahagian atas dijadikan sekolah manakala di bahagian bawah dijadikan kedai.Guru Besar yang pertama di sekolah ini ialah Tuan Haji Sidek (orang Lenggong). Beberapa tahun setelah sekolah ini dipindahkan ke Kampung Kuak Luar, barulah didirikan sekolah di Pekan Keruh.


Tahun 1941

Semasa Perang Dunia Kedua, pengajian murid-murid di sekolah ini terganggu. Sekolah ini telah ditutup dari 13 Disember 1941 sehingga 6 Mac 1942, kerana huru-hara peperangan. Apabila sekolah ini dibuka semula semasa pendudukan Jepun, pelajaran bahasa Jepun diajar di sekolah ini. Tuan Syed Abdul Rahman bin Syed Yasin telah bertugas sebagai guru bahasa Jepun atau guru Nippon.


Sekitar tahun 50an

Menjelang tahun 50an, bilangan murid sekolah ini telah melebihi 100 orang dan bangunan asal ini tidak mencukupi lagi. Bagi menampung kekurangan tempat belajar, pihak Jawatankuasa Penasihat Sekolah ketika itu telah mendirikan bangunan sementara secara gotong royong oleh ibubapa murid-murid sementara menanti bangunan baru siap. Murid-murid telah menumpang belajar di Surau Masjid Iskandari Keruh

Tahun 1953

Pada tahun 1953, sebuah bangunan tambahan telah didirikan oleh Jabatan Pelajaran Perak bagi menempatkan Kelas Pertukangan Kayu. Bangunan ini telah diubahsuai dan dijadikan bilik darjah bila kelas pertukangan kayu ini ditutup pada tahun 1958.


Tahun 1956

Pada bulan Mac 1956, sebuah bangunan kerajaan JKR 243 telah dijadikan bilik darjah. Bangunan ini asalnya sebuah banglo kepunyaan Encik J.D Kemp, seorang saudagar lombong British yang telah diserahkan oleh Jabatan Pelajaran Perak bila beliau balik ke England.


Tahun 1973

Pada tahun 1973, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membina sebuah bangunan mengandungi 6 bilik darjah bagi menampung kekurangan bilik darjah di sekolah ini. Upacara pembukaan rasmi bangunan ini telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohammed ( Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke 4) yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran Malaysia pada 25 Ogos 1975.


Tahun 1996

Sehingga tahun 1996, hampir 7000 orang murid telah masuk belajar di sekolah ini. Mereka terdiri daripada pelbagai keturunan seperti Melayu,Cina, India, Thai, Iban dan Asli. Sekolah ini juga menjadi pusat bagi menerima murid-murid ke darjah lima dan enam dari sekolah sekitarnya sehinggalah pada tahun 1980 apabila seluruh sekolah di daerah ini membuka kelas darjah lima dan enam.


Kini

Sehingga kini, lebih 500 orang murid sedang bersekolah di sekolah ini dengan tenaga pengajar seramai 50 orang guru. Kemajuan sekolah ini telah meningkat dari masa ke semasa. Prestasi pencapaian murid-murid dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah meningkat. Ramai juga di antara murid-murid sekolah ini telah berjaya dipilih ke sekolah menengah berasrama penuh.































Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger